Dr. Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPURĀ – Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan semula TV Pendidikan secara percuma kepada pelajar-pelajar sekolah sama ada melalui stesyen televisyen ataupun secara dalam talian menjelang akhir tahun depan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, usaha memperkenalkan semula saluran televisyen itu bagi membolehkan orang ramai mengaksesnya tanpa perlu membayar sebarang yuran langganan.

“Kita akan cuba mewujudkan kembali TV Pendidikan yang boleh diakses tanpa dibayar sama ada melalui televisyen arus perdana ataupun kita cuba melalui portal-portal dalam talian sebab orang lebih mudah akses.

“Tapi yang penting kita ingin pastikan orang ramai dapat akses kepada TV Pendidikan ini.

“Akhir tahun depan kita akan pastikan kandungan TV Pendidikan dapat disiapkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Peringkat Kebangsaan 2018 di Auditorium Bahagian Teknologi Maklumat, Bukit Kiara, hari ini.

Dr. Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bergambar kenangan bersama pemenang pada Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 OKTOBER 2018

Maszlee juga berkata, pada masa ini pihak sedang membangunkan kandungan TV Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Saya akan bincang dengan Menteri Gobind Singh Deo kemungkinan untuk wujudkan platform dan kandungan untuk TV Pendidikan.

“Buat masa sekarang kita sedang membangunkan kandungan kita sendiri yang kita akan kongsikan dalam talian,” katanya.

Katanya, bagi mempromosikan TV Pendidikan itu, pihaknya akan menjadikan program itu tular melalui laman sosial.

“Kita akan jadikan ia tular. Hari ini kita sedar telefon pintar jadi salah satu daripada keperluan rakyat di Malaysia dan kebanyakan orang tidak boleh tinggalkan gajet ini,” katanya. – MalaysiaGazette