Wajah-wajah cilik menghadiri sesi perhimpunan khas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette hari pertama persekolahan bagi sesi 2017 di Sekolah Kebangsaan Setia Alam, Shah Alam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 03 JANUARI 2017.
Wajah-wajah cilik menghadiri sesi perhimpunan khas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette hari pertama persekolahan bagi sesi 2017 di Sekolah Kebangsaan Setia Alam, Shah Alam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 03 JANUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Jadual waktu kelas dijangka diselaraskan selari dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan berat beg sekolah.

Sinchew Daily melaporkan, pihak sekolah telah diminta untuk menyusun semula jadual harian supaya hanya tiga hingga empat subjek diajar setiap hari berbanding lima hingga enam subjek pada masa ini.

Keadaan itu antaranya bertujuan mengurangkan jumlah buku teks dan buku latihan yang perlu dibawa pelajar ke sekolah setiap hari.

Isu beg sekolah yang berat telah dibangkit banyak kali dengan kajian mendapati beg sekolah murid berat disebabkan membawa buku teks, buku latihan, botol air, alat tulis, buku komik, kamus dan sebagainya.

Dalam satu lagi perkembangan pendidikan, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pelajar tetap memakai stoking berwarna putih walaupun pemakaian kasut hitam akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2021.

Beliau mengesahkan perkara itu ketika dihubungi China Press yang bertanya mengenai kekeliruan yang timbul susulan pertukaran kasut sekolah putih kepada kasut hitam.

Pertukaran kasut putih kepada hitam telah mengundang reaksi berbeza dengan pihak tertentu berpendapat warna kasut bukan isu yang penting kerana kasut sekolah tetap perlu dicuci tanpa kira warnanya. – MalaysiaGazette