KUANTAN – Dua buah buku masakan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan dijadikan panduan kepada pelajar kulinari Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills.

Pengarahnya Datuk Noorhishamuddin Yaacob berkata resipi air tangan Tunku Azizah, yang sememangnya terkenal dengan minat mendalam terhadap bidang masakan, dijadikan sebahagian daripada modul pembelajaran.

“Kami jadikan ilmu masakan yang dikongsi baginda sebagai asas kepada pelajar kulinari dan bakeri di bawah unit kompetensi Masakan Asia.

“Pihak kami yakin pendedahan yang diberikan kepada pelajar melalui buku ini dapat memberi ilham dan nilai tambah untuk mereka bersaing dalam pasaran kerjaya industri perhotelan,” katanya pada majlis perasmian Buku Air Tangan Tengku Puan Pahang di Villa KuChinta, Kampung Cherok Palok di sini, hari ini.

Dua buah buku masakan berkenaan bertajuk ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang’ dan ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang’ itu dilancarkan pada 6 Ogos lalu.

Pelancarannya disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan dana yang diperoleh daripada penjualannya disumbangkan kepada Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF).

TAFF yang diasaskan Tunku Azizah pada Ogos 2004 memberi tajaan kepada pasangan yang tidak dikurniakan anak untuk menjalani rawatan kesuburan (IVF).

Keistimewaan resipi di dalam buku itu ialah ia mengumpulkan resipi yang digunakan baginda dalam masakannya di istana, selain mengandungi resipi tradisional yang diperoleh baginda semasa mencemar duli di setiap daerah di Pahang. – BERNAMA