Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan keluar selepas menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan Biro Politik PKR yang bermesyuarat semalam telah mengumpul segala maklumat berkaitan aduan unsur politik seperti yang didakwa calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Ketua Umum PKR itu berkata, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Lembaga Disiplin PKR telah mengambil semua maklumat termasuk aduan Rafizi untuk disiasat secara serius.

“Kita dah ambil semua maklumat dan kini masanya untuk JPP dan Lembaga Disiplin PKR akan siasat.

“Siasatan termasuk juga aduan yang diadukan oleh Rafizi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Isnin lalu, bekas Naib Presiden PKR, Rafizi yang merupakan calon Timbalan Presiden parti itu mendakwa politik wang telah berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan parti setakat ini.

Beliau yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai ‘sebelah sana’ mendakwa, suasana sebegitu adalah terbaharu kali ini dan tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Rentetan dakwaan itu, PKR telah mengadakan mesyuarat biro politik bagi mengumpul maklumat berkaitan aduan politik wang itu dan akan menyiasat lanjut untuk mengenalpasti salah laku itu.- Malaysia Gazette