pemandu teksi
Para pemandu teksi membantah dengan membawa spanduk semasa mengadakan demonstrasi berhubung isu kereta Grab di hadapan Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Lebih 300 pemandu teksi hari ini berhimpun secara aman di hadapan Kementerian Kewangan (MOF), di sini bagi membantah syarikat perkhidmatan e-hailing Grab yang dilantik sebagai alternatif tunggal kepada bas perantara untuk pengguna MRT.

Pemandu-pemandu teksi konvensional itu yang diketuai oleh Penasihat syarikat pengendali teksi di Suria KLCC, Big Blue Capital Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail memulakan demostrasi mereka seawal jam 9.45 pagi tadi.

Hampir kesemua 300 pemandu teksi yang menyertai perhimpunan itu  mengenakan pakaian seragam syarikat teksi masing-masing dan turut disertai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong usaha mereka.

Mereka terdahulu berkumpul di kawasan letak kereta bersebelahan Menara MRCB sebelum berarak beramai-ramai sejauh 300 kilometer menuju ke bangunan MOF sambil melaungkan ‘teksi hidup’.

Datuk Shamsubahrin Ismail
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail (tengah) mengetuai demonstrasi berhubung isu Grab sebagai perantara MRT di hadapan Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OKTOBER 2018.

Pergerakan peserta-peserta demonstrasi itu dikawal rapi pihak polis yang ditempatkan di sepanjang Persiaran Perdana, di sini sama ada menggunakan kereta rondaan mahupun Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Tiada sebarang insiden buruk berlaku sepanjang perhimpunan itu berlangsung dan pihak penganjur menunaikan janji mereka untuk tidak menimbulkan kekecohan termasuk ugutan kepada pihak kerajaan.

Sebelum pihak penganjur, Shamsubahrin masuk ke MOF, beliau sempat berucap kepada ratusan pemandu teksi dan membantah tindakan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua hanya berbincang dengan Grab sebagai alternatif bas perantara untuk pengguna MRT.

Seusai berucap Shamsubahrin, bersama tiga lagi wakil syarikat teksi menuju ke lobi MOF untuk menemui Tony Pua bagaimanapun dihalang pihak berkuasa dan hanya dibenarkan menemui wakil kementerian tersebut.

MGF17102018_DEMOTRASI PEMANDU TEKSI04
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail (dua kanan) bersalaman dengan Setiausaha Bahagian Strategi Koprorat dan Komunikasi Kementerian Kewangan Malaysia, Suhaili Ahmad semasa mengadakan demonstrasi di hadapan Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OKTOBER 2018.

Hampir 10 minit Shamsubahrin cuba berbincang dengan pihak kementerian untuk menemui Tony Pua, bagaimana hanya boleh menyampai pesanan melalui Setiausaha Bahagaian Strategi Korporat dan Komunikasi MOF, Suhaili Ahmad.

Kesal dengan keengganan Tony Pua menemui mereka, kesemua 300 pemandu teksi itu bagaimanapun beredar dari MOF kira-kira 10.40 pagi tadi dan akan mengadakan mogok penumpang di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan