hli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap kepada media ketika hadir pada sesi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 17 OKTOBER 2018.
Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden akan ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu berhubung pendakwaan kesnya di mahkamah.

Kata beliau, pihaknya akan memanggil mesyuarat MKT UMNO sejurus selepas segala maklumat sah berhubung pertuduhan ke atas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diperoleh kelak.

“Saya belum tanya Zahid (notis serah diri kepada SPRM) dan tidak boleh mengesahkan apa yang telah disebut.. cuma membaca dalam status Lokman Adam Noor…kita tunggu esok.

“Kita akan memanggil Mesyuarat MKT UMNO dan kita buat keputusan di sana..kita akan tunggu dan lihat..jika ada pengesahan dari SPRM dan Zahid.

“Selepas itu mungkin beberapa hari selepas itu kita akan memanggil mesyuarat MT. Sehingga kini kami belum melihat Zahid hari ini kerana kami di sini (Parlimen) sepanjang hari,” tegas Ahli Parlimen Padang Terap itu kepada pemberita sebelum meninggalkan Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian setelah diminta mengulas mengenai status Instagram Ahli MT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bahawa pemimpin nombor satu parti itu telah menerima notis serah diri daripada SPRM hari ini.

Menurut Lokman, notis serah diri SPRM telah dihantar kepada Ahmad Zahid Hamidi pada pukul 1.45 petang hari ini untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya 3 petang Khamis esok.

“Presiden UMNO juga dijangka didakwa keesokan harinya (Jumaat),” katanya menerusi kiriman terbaharu di akaun Telegramnya hari ini.

Dalam pada itu, veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini turut memberi reaksinya dengan menyatakan beliau percaya tindakan pihak berkuasa ke atas Ahmad Zahid tidak akan mencacatkan kedudukannya dalam UMNO.

Tengku Razaleigh ditanya mengenai apakah wajar Zahid perlu berehat dari jawatan Presiden UMNO buat sementara bagi menghadapi pertuduhan itu.

Katanya, beliau merasakan adalah lebih baik semua pihak menunggu esok dan meneliti perkembangan keputusan pihak berkuasa itu.

“Bagaimanapun ia (presiden kena berehat) perlu ditentukan oleh MKT UMNO yang harus mempertimbangkan segala perkara yang berbangkit berikutan tindakan SPRM.

“Jadi sebagai ahli saya tidak layak untuk komen mengenai perkara ini tetapi saya percaya bahawa isu ini tidak akan mencacatkan kedudukan UMNO,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette