S. Gobi Krishnan
S. Gobi Krishnan

KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Hak Minoriti (MiRA) mencabar blogger Raja Petra Kamaruddin kembali ke Malaysia untuk berbincang lebih lanjut mengenai bagaimana hendak mempertahankan hak minoriti.

Timbalan Presidennya, S. Gobi Krishnan berkata, beliau tidak perlu melalak di luar negara mempersoalkan matlamat dan perjuangan parti itu dalam mempertahankan hak kaum minoriti di negara ini.

“Kalau dia (Raja Petra) merasakan dia benar-benar tergolong dalam kumpulan minoriti (Bugis), kita sangat alu-alukan dia balik ke Malaysia, menyertai parti MiRA.

“Kita memerlukan dia untuk berada sebaris dengan kepimpinan MiRA dan sama-sama berjuang menuntut semula hak minoriti yang dinafikan selama lebih 60 tahun oleh kerajaan terdahulu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau menjawab tulisan terbaharu Raja Petra Kamaruddin yang mempersoalkan kenapa MiRA tidak membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menghina bangsa Bugis sebelum ini.

Katanya, MiRA yang mendakwa parti membela hak minoriti sepatutnya turut berjuang mempertahankan kaum Bugis yang dihina dengan panggilan lanun oleh pemimpin negara, bukan hanya membela kaum Sikh sahaja.

“Saya tahu, (S. Gobi) sebagai seorang Hindu, anda merasakan wajib untuk membela Sikh, tetapi pada masa sama, anda juga perlu mempertahankan kaum Bugis yang dihina.

“Saya menunggu laporan polis anda (MiRA) yang mempertahankan hak minoriti Bugis,” tulis Raja Petra Kamaruddin.

Menurut S. Gobi, beliau menunggu kepulangan blogger itu untuk menemuinya secara peribadi supaya dapat membincangkan lebih lanjut mengenai perjuangan mempertahankan hak minoritinya.

Jelas beliau, MiRA ditubuhkan khusus untuk membela hak minoriti yang kurang 10 peratus penduduknya seperti Hindu India, Kristian India, Muslim India, Cina India (Chindians), Punjabis, Sikh, Gujeratis, Sindhis, Masyarakat Orang Asli, Portugis, Baba Nyonya, Siam dan sebagainya.

“Mana-mana kumpulan perkauman yang kurang daripada 10 peratus penduduknya boleh menyertai MiRA. Kita berjanji akan memperjuang dan mempertahankan hak mereka termasuk hak Raja Petra dari kaum Bugis.

“Selain itu, parti ini mengamalkan politik yang inklusif tanpa sebarang diskriminasi,” katanya.

Kata S. Gobi, barisan kepimpinan parti itu terdiri daripada wakil semua kumpulan minoriti iaitu Naib Presiden, Dr Dharamjit Singh seorang Sikh; Naib Presiden, Mejar Untai anak Dana (rakyat Sarawak); Setiausaha, Raman Baskaran (Hindu India); Ketua Pemuda Kebangsaan, Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Muslim India); Ketua Puteri Kebangsaan, Sharmine Seh (Chindians); dan Ketua Wanita Kebangsaan, Jasmine Thason (Kristian India).

Ujar beliau, contoh kepimpinan itu menunjukkan dengan jelas MiRA mengalu-alukan semua minoriti untuk menyertai parti itu. – MalaysiaGazette