Pemandu teksi
Para pemandu teksi mengadakan demonstrasi berhubung isu kereta Grab di hadapan Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Pemandu teksi yang berhimpun secara aman di Kementerian Kewangan hari ini berikrar akan mengikut jejak langkah Tun Dr Mahathir Mohamad menjatuhkan pemimpin tidak jujur pada pilihan raya akan datang.

Penasihat syarikat pengendali teksi Big Blue Capital Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, salah seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tidak jujur itu ialah Tony Pua kerana enggan menemui mereka, hari ini.

“Saya berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, saya telah banyak belajar dengan dia sewaktu PRU14 macam mana nak menjatuhkan seorang pemimpin

“Jadi hari ini saya akan mengikut jejak langkah Mahathir yang akan menjatuhkan pemimpin yang tidak jujur seperti Tony Pua.

“Seperti mana Mahathir jatuhkan Datuk Seri Najib, saya akan buat macam itu kepada Tony Pua,” katanya ketika ditemui di lobi Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Terdahulu Shamsubahrin mengetuai demostrasi pemandu teksi di hadapan kementerian itu bagi membantah hasrat kerajaan melantik syarikat perkhidmatan pengendali e-hailing, Grab sebagai pengangkutan alternatif kepada bas perantara untuk penggguna MRT.

Beliau juga menegaskan, kerajaan baharu perlu menghargai sokongan warga pemandu teksi yang banyak membantu PH memenangi PRU14 lalu dengan menyelesaikan kemelut.

“Kita cuma nak keadilan, saya merayu dan pemandu-pemandu teksi lain nak keadilan lebih atau kurang.

“Kita tak nak bergaduh, kita sokong kerajaan, kita sokong kerajaan sebelum PRU14, saya pergi ke seluruh Malaysia (raih sokong PH),” katanya lagi. – MalaysiaGazette