Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada sidang media mengenai kemalangan maut Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora di Pejabat Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 08 OKTOBER 2018
Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada sidang media mengenai kemalangan maut Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora di Pejabat Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 08 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Pegawai Imigresen dan Kastam akan ditempatkan di laluan khas orang kenamaan (VIP) di semua lapangan terbang bagi mengelakkan aktiviti jenayah terlepas, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Jelasnya, ketiadaan pegawai daripada kedua-dua pihak berkuasa itu di laluan khas sebelum ini merupakan salah satu faktor berlakunya jenayah penyeludupan wang RM4.9 juta baru-baru ini.

“Memang ada kelemahan di laluan khas VIP. Pihak Kementerian telah berbincang dengan pihak Kastam dan Imigresen supaya memperketatkan lagi peraturan sedia ada dan tempatkan pegawai di laluan khas.

“Setakat ini memang tiada pegawai Imigresen atau Kastam di laluan khas VIP dan urusan Imigresen diuruskan pegawai pengiring kastam yang ditempatkan di luar,” katanya menjawab soalan Pang Hok Liong (PH – Labis ) tentang tindakan selanjutnya untuk memastikan kejadian baru-baru ini tidak berulang lagi.

Untuk rekod pada 3 September yang lalu, Berita Harian secara eksklusif mendedahkan pesawat atau jet persendirian yang ada kaitan dengan pemimpin atau orang kenamaan dipercayai digunakan untuk menyeludup masuk wang tunai dalam jumlah besar ke negara ini.

Ia berikutan kelonggaran penguatkuasaan dan pemeriksaan yang diberikan kepada pesawat persendirian yang ada kaitan dengan golongan berstatus pemimpin, pegawai tinggi kerajaan atau individu yang ada kaitan dengan mereka.

Ia diburukkan lagi apabila mesin pengimbas di laluan keluar lapangan terbang jarang diguna untuk memeriksa bagasi atau barangan dibawa penumpang pesawat atau jet persendirian terbabit sehingga wang jutaan ringgit mampu diseludup keluar atau masuk tanpa pemeriksaan rapi.

Mengulas lanjut, Anthony memberi jaminan setiap orang kenamaan tidak akan terlepas untuk diimbas menerusi mesin pengimbas.

“Pengimbas juga diletakkan untuk membanteras sebarang jenayah khususnya isu penyeludupan wang, kita harap Ahli-ahli Parlimen selepas ini tidak complaint (merungut),” ujarnya.

Sebelum itu Anthony berkata semua Ahli Parlimen layak menggunakan tempat menunggu dan laluan khas di semua lapangan terbang dalam negara. – MalaysiaGazette