Monsun Timur Laut dijangka melanda Selangor bermula 23 Oktober ini.
Monsun Timur Laut dijangka melanda Selangor bermula 23 Oktober ini.

SHAH ALAM – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Selangor meramalkan purata hujan di semua daerah di negeri ini bermula 23 Oktober hingga akhir Disember ini, tinggi.

Jurucakapnya berkata, berdasarkan tinjauan jangka panjang taburan hujan, pihaknya menjangkakan 210mm hingga 320 mm sepanjang bulan ini, diikuti 250mm hingga 370mm (November) dan 250mm hingga 300mm (Disember).

Katanya, jangkaan hujan yang tinggi itu akan menyebabkan berlaku kejadian banjir dan banjir kilat di Selangor terutama pada tarikh berlakunya air pasang besar.

Berikut tarikh air pasang dan ketinggiannya:

Bermula 23 Oktober hingga 26 Disember ini, air pasang laut tertinggi di daerah Klang dan Kuala Langat dijangka 5.0 hingga 5.4 meter, daerah Sabak Bernam dalam tempoh sama 3.0 hingga 3.3 meter; Sepang pula dari 24 Oktober hingga 24 Disember ini paras laut dijangka 3.0 hingga 3.2 meter; dan Kuala Selangor dari 23 Oktober hingga 25 Disember dijangka 4.5 hingga 4.9 meter.

Kawasan berisiko banjir dan banjir kilat pula dijangka berlaku di 20 kawasan dalam Petaling, 16 kawasan (Hulu Langat), 23 kawasan (Sabak Bernam), 12 kawasan (Gombak); sembilan kawasan (Klang), masing-masing tujuh kawasan (Sepang dan Hulu Selangor), enam kawasan (Kuala Langat) dan 11 kawasan (Kuala Selangor).

Sementara itu, Unit Bencana Negeri Selangor menerusi Smart Selangor Command Centre (SSCC), menasihatkan penduduk di kawasan yang dikenalpasti berisiko mengalami banjir dan banjir kilat agar mengambil langkah persediaan serta mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan Selangor telah mengarahkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pihak Berkuasa Keselamatan dan Pihak Berkuasa Tempatan melaksanakan persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir dan bencana alam lain,” kata kenyataan itu, hari ini. – MalaysiaGazette