Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Ibu Pejabat SPRM selepas tujuh jam memberikan keterangan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang dana dalam Yayasan Akal Budi di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 12 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka ditahan untuk disoal siasat di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 3 petang esok.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dalam laman sosial Telegramnya hari ini memberitahu, notis serah diri itu telah dihantar kepada Ahmad Zahid pada jam 1.45 petang, hari ini.

“Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diberikan notis serah diri untuk ditahan jam 1.45 ptg tadi untuk menghadirkan diri ke ibu pejabat SPRM jam 3.00 ptg esok, 18hb Oktober, 2018 (Khamis).

“Presiden UMNO juga dijangka didakwa keesokkan harinya (Jumaat),” katanya melalui posting terbaru akaun Telegramnya, hari ini.

Jumaat lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipanggil SPRM bagi membantu siasatan ke atas dakwaan penyelewengan di Yayasan Akal Budi yang dipengerusikannya sebelum ini.

Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Nor Adam
Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Nor Adam

Ahmad Zahid di soal siasat pihak SPRM pada Jumaat lalu berlangsung selama lebih tujuh jam dan ia merupakan kali ketiga beliau dipanggil untuk dirakamkan keterangan.

Lokman juga berkata, susulan penahanan Ahmad Zahid itu, beliau menggesa orang ramai dan pemimpin UMNO untuk berhimpun di ibu pejabat SPRM malam esok sebagai tanda solidariti.

“Saya menyeru semua rakyat, khususnya ahli dan kepimpinan UMNO hadir sama sebagai tanda #Solidariti4PresidenUMNO jam 9.00 malam di hadapan ibu pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya dan jam 8.00 pagi di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur.

“Ayuh kita sama-sama hadir mempertahankan Presiden kita yang kini menjadi sasaran regim Zalim Mahathir DAP.

“Jangan biarkan Presiden kita keseorangan! Korbankan hanya sehari untuk kita mempertahankan Maruah UMNO yang kini cuba dirobek oleh sang penguasa,” katanya lagi. – Malaysiagazette

Tinggalkan Jawapan