Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2018
Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong menafikan berbeza pendapat dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung projek jambatan bengkok.

Katanya, pendekatan berbeza yang diambil oleh DAP negeri itu tidak bermakna parti itu tidak sehaluan dengan Dr Mahathir.

“Tak ada (perbezaan pendapat dengan Dr. Mahathir). Ini hanya cadangan sahaja yang masih belum dibuat keputusan.

“Ia juga adalah proses demokrasi dan adalah baik untuk kita bincangkan semua cadangan serta ambil keputusan selepas cadangan dibincangkan oleh semua,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata beliau tidak tahu menahu mengenai cadangan mengembalikan projek jambatan bengkok itu.

“Itu pengumuman beliau (Menteri Besar Johor), lebih baik awak tanya beliau kerana saya tidak dimaklumkan langsung,” katanya hari ini.

Jambatan bengkok: Kerajaan dalam proses kajian

Jambatan bengkok: Kita lihat dulu kapasiti pada masa ini – Azmin

Singapura mahu gunakan Tambak Johor 30 tahun lagi – Najib

Semalam Ching Tong berkata cadangan membina jambatan ketiga menghubungkan negeri di selatan Semenanjung ke Singapura lebih penting daripada menggantikan Tambak Johor dengan projek jambatan bengkok.

Malah katanya terdapat keperluan memaksa untuk memperbaiki dan mempercepat pembinaan sistem transit rapid (RTS) bagi menghubungkan kedua-dua negara.

Menteri Besar Johor, pada Selasa dilaporkan bercadang untuk meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok, yang diilhamkan Dr. Mahathir sebelum bersara pada tahun 2003.

Beliau berkata Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan itu jika kerajaan Johor hendak meneruskan projek berkenaan. – MalaysiaGazette