Mark Zuckerberg. foto CBC

WASHINGTON – Pemegang saham utama yang mempunyai kepentingan dalam laman sosial Facebook memberi cadangan mengejutkan agar ‘menyingkirkan’ pengasasnya, Mark Zuckerberg sebagai pengerusi susulan beberapa skandal berprofil tinggi.

Reuters melaporkan, empat dana umum AS yang memegang saham terbesar mencadangkan agar Zuckerberg yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook dipecat.

Malah Bendahari negeri Illinois, Rhode Island dan Pennsylvania, dan pegawai kewangan New York City, Scott Stringer bertindak memfailkan cadangan itu bersama-sama.

Mereka juga berharap mendapat sokongan daripada majoriti terutamanya pengurus aset yang lebih besar.

Bendahari Rhode Island, Seth Magaziner berkata, cadangan terbaru itu masih berbaloi difailkan bagi membuka jalan menarik perhatian kepada masalah Facebook yang menghantui media sosial itu selain menjadi penyelesaian kepada beberapa masalah.

Sekurang-kurangnya tiga daripada empat dana awam menyokong resolusi 2017.

Ini juga sangat mengejutkan memandangkan Zuckerberg memiliki saham terbesar selain daripada kuasa majoriti untuk mengundi.

Facebook berdepan dengan pelbagai kontroversi sehingga menjejaskan imejnya termasuk perkongsian maklumat pengguna tanpa izin, berita palsu dan campur tangan ‘asing’ dalam pilihan raya Presiden AS sebelum ini.

Zuckerberg belum memberikan komen beliau berhubung perkara ini sehingga kini. – Malaysia Gazette