Seorang peniaga menyusun cili dan sayur-sayuran untuk dijual kepada pelanggan semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JUN 2018
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Peningkatan harga barangan dan perkhidmatan telah menjejaskan kuasa beli isi rumah B40 dalam keadaan pertumbuhan pendapatan isi rumah yang lebih perlahan berbanding perbelanjaan.

Perbelanjaan penggunaan bulanan purata bagi isi rumah B40 meningkat pada kadar 6% setahun dalam tempoh 2015-2016, lebih tinggi berbanding pertumbuhan pendapatan purata bulanan isi rumah sebanyak 5.8% setahun.

Kajian Separuh Penggal RMK-11 berkata, kebanyakan isi rumah B40 terjejas disebabkan oleh harga makanan dan minuman bukan alkohol yang mencatatkan kenaikan tertinggi pada kadar 3.7% setahun dalam tempoh kajian semula.

Kenaikan ini diikuti oleh harga makanan di luar rumah yang meningkat pada kadar 3.4% serta perbelanjaan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain pada kadar 2.4%.

Ketiga-tiga kategori ini menyumbang sebanyak 61.9% daripada jumlah perbelanjaan golongan berkenaan.

Isi rumah B40 di bandar, terutama golongan berpendapatan rendah, lebih terjejas dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan disebabkan komitmen perbelanjaan yang lebih tinggi dan keupayaan menjana pendapatan yang terhad. – MalaysiaGazette