Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendengar soalan wartawan pada sidang media selepas membentangkan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11) sambil diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendengar soalan wartawan pada sidang media selepas membentangkan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11) sambil diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Isu pembinaan jambatan timbul semula baru-baru ini apabila muncul satu pihak yang mencadangkan kepada kerajaan negeri Johor supaya jambatan ketiga dibina bagi menghubungkan Malaysia dengan Singapura.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembinaan jambatan ketiga seperti yang dikehendaki pihak yang berkenaan di Johor memerlukan persetujuan negara jiran Singapura.

“Tetapi Singapura tidak akan memberi persetujuan apatah lagi pertimbangan sewajarnya dalam perkara ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini.

Menurut perdana menteri, jambatan ketiga itu berbeza dengan jambatan bengkok yang pernah beliau cadangkan.

Ini kerana, jambatan bengkok dirancang dibina tanpa membabitkan negara Singapura langsung.

“Kita (Malaysia) boleh membina jambatan bengkok pada bila-bila masa sahaja dan ia tidak memerlukan persetujuan jiran republik kita, tetapi untuk jambatan ketiga persetujuan Singapura perlu,” katanya.

Terdahulu beliau telah membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat pukul 4 petang tadi dan disokong Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Besar Johor baru-baru ini membangkitkan semula cadangan pembinaan jambatan bengkok dan mendapat respon pelbagai pihak termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib antara lain berkata, beliau pernah mencadangkan kepada Singapura berhubung pembinaan jambatan tersebut tetapi negara berkenaan mahu menggunakan Tambak Johor untuk tempoh 30 tahun lagi. – MalaysiaGazette

Singapura mahu gunakan Tambak Johor 30 tahun lagi – Najib