Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 di Parlimen. foto: FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal.

Perdana Menteri juga tidak boleh memegang portfolio lain.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah segera itu untuk mereformasi sistem politik di negara ini.

Tambah Perdana Menteri itu, hubungan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan juga akan ditambah baik dengan mengembalikan semula semangat federalisme.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 di Parlimen hari ini.

Kerajaan negeri akan diperkasa melalui proses pengagihan kuasa pusat bagi beberapa fungsi termasuk pengangkutan awam, perkhidmatan sosial dan perlindungan alam sekitar.

Penambahbaikan sistem pilihan raya akan dilaksana dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses yang adil kepada media.

Had umur mengundi akan diturunkan kepada 18 tahun dan undang-undang berkaitan pembiayaan politik akan diperkenal. – MalaysiaGazette