Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JULAI 2018
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Tiada seorang menteri pun mempunyai kuasa untuk meletakkan sebarang notis termasuk larangan merokok tanpa persetujuan daripada Yang di-Pertua Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen (Sungai Petani-PKR), Datuk Johari Abdul berkata, seluruh kawasan Dewan Rakyat dan bangunan Parlimen terletak dalam kuasa Speaker seperti termaktub dalam Akta Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Saya nak minta Yang di-Pertua bagaimana seorang ahli Parlimen telahpun didenda kerana merokok di kawasan Parlimen.

“Saya tengok notis yang diletakkan di tempat larangan merokok ditandatangani oleh Menteri Kesihatan.

“Seperti Tuan Speaker tahu, ini adalah kawasan tuan Speaker ‘This House Is Yours’, tiada menteri mana pun berkuasa. Mana mungkin menteri boleh letak notis-notis ikut suka dia, tak boleh,” katanya pada sidang Parlimen, hari ini.

Selasa lalu, seorang ahli Parlimen antara lapan individu dikenakan kompaun kerana merokok di dalam bangunan Parlimen, sejak larangan itu dikuatkuasakan pada 17 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun tidak mendedahkan identiti wakil rakyat itu.

Katanya, kafeteria di bangunan utama, tempat rehat wakil rakyat dan ruang telaga udara diisytiharkan kawasan larangan merokok, termasuk untuk pengguna vape, di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Johari juga mengusulkan supaya notis larangan merokok di bangunan Parlimen itu ditarik balik sementara ia dibincangkan oleh Speaker Dewan Rakyat.

“Dia kena bincang dengan Speaker, kemudian Speaker akan maklum kepada kita, biarlah Speaker yang meletakkan notis dan maklumkan

“Saya tidak merokok, tetapi untuk berlaku adil kepada kita semua yang ada keistimewaan di sini. ‘Speaker you are my boss, You our boss’, bukan menteri-menteri.

“Saya minta panduan Tuan Speaker untuk maklumkan kepada kerajaan dan menteri di mana mereka tiada kuasa untuk meletak apa juga notis di sini.

“Notis mesti datang daripada Speaker dan ini adalah kawasan Speaker dan saya minta notis itu ditarik balik dan letakkan di atas nama Speaker,” katanya.

Usul tersebut juga disokong oleh Ahli Parlimen (Kinabatangan-BN), Datuk Bung Mokhtar Radin sambil menegaskan mana-mana penguatkuasa tidak sewajarnya mencari kesalahan wakill rakyat di Parlimen.

“Saya menyokong rakan saya Johari Abdul di mana tiada mana-mana penguatkuasa boleh berlegar-legar di dalam Dewan ini mencari kesalahan wakil rakyat melainkan kebenaran Tuan Speaker.

“Ini tidak pernah berlaku dan kami beri kuasa penuh kepada dewan mulia ini untuk menyelesaikan masalah ini mereka harus hormati Speaker dan jangan suka-suka,” tegasnya.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pula memberi jaminan akan mengkaji semula usul terbabit dan segala notis yang diletakkan di Parlimen perlu mengikut undang-undang.

“Saya akan keluarkan petua yang berpatutan setelah mengkaji segala aspek peraturan-peraturan mesyuarat dan undang-undang berkaitan.

“Sementara itu saya telah usahakan masalah ini sebaik mungkin jadi bersabarlah sedikit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette