gambar hiasan
gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Unicef dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mencadangkan kerajaan supaya mengenakan cukai kepada minuman bergula.

Dalam satu kenyataan bersama, wakil WHO untuk Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr. Lo Ying Ru serta wakil Unicef di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh berkata, cukai sedemikian memberi banyak manfaat kepada kewangan negara dan kesihatan.

“Mencukai minuman bergula adalah pilihan bijak kepada kerajaan kerana ia memberi manfaat kepada kesihatan dan kewangan.

“Ia sepatutnya dilihat sebagai satu permulaan dan bukannya pengakhiran dalam menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat dan cergas,” kata mereka.

Jelas mereka, sama seperti cukai arak dan tembakau, harga minuman bergula yang lebih mahal akan menjadi satu langkah positif kerana isi rumah berpendapatan rendah akan lebih responsif kepada peningkatan harga.

Ini sekaligus dapat mengurangkan penggunaan gula bagi golongan tersebut dan seterusnya mengurangkan perbelanjaan kesihatan dan menambah baik kehidupan rakyat dalam jangka masa panjang.

“Sudah terbukti, peningkatan harga minuman bergula akan mengurangkan penggunaan,” katanya sambal menambah 36 negara seperti Brunei, Perancis, Mexico, Thailand dan Britain turut melaksanakan cukai serupa.

Menurut kedua-duanya, kumpulan berpendapatan rendah sering berhadapan dengan pilihan sukar kerana makanan dan minuman tidak sihat biasanya lebih murah daripada makanan sihat.

Selain manfaat kepada kesihatan, isi rumah miskin di Malaysia juga boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan sosial lebih baik apabila kerajaan mendapat pendapatan lebih banyak daripada hasil cukai.

“Apabila pelaksanaan cukai tersebut digabungkan dengan langkah-langkah lain seperti pendidikan, subsidi makanan sihat, label nutrisi dan peraturan pemasaran makanan, ia akan menghasilkan kesan yang hebat melawan obesiti.

“Kami juga menyeru kerajaan dan sektor swasta menghasilkan lebih banyak makanan sihat dan berzat yang mudah didapati dan murah terutamanya kepada golongan miskin,” katanya.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan