Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Misi perdagangan dan pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke Tokyo dan Osaka, Jepun baru-baru ini berjaya menarik keseluruhan pelaburan berpotensi bernilai RM2.13 bilion terutamanya dalam industri petrokimia, logistik dan peralatan perubatan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MITI berkata, Daiwa House Industry Co. Ltd. berhasrat untuk membina sebuah kemudahan logistik dengan perkhidmatan penyimpanan sejuk dengan nilai pelaburan RM74 juta manakala Japan Lifeline Co. Ltd. melalui anak syarikatnya, JLL Malaysia Sdn. Bhd. mahu melabur RM80 juta untuk membina kilang pertamanya di luar Jepun.

JLL adalah pengeluar peranti perubatan yang khusus dalam bidang kardiovaskular.

Sementara di Osaka, MITI berjaya menarik RM1.05 bilion pelaburan berpotensi dengan potensi import sebanyak RM33 juta khususnya dalam industri elektrik dadn elektronik, perabot, barangan keperluan rumah dan produk dipasang sendiri (DIY).

Syarikat pengeluar pendingin hawa multinasional Jepun, Daikin Industries Ltd. akan melabur dalam pembangunan kilang PCBA baru serta pusat Pengedaran Kumpulan Daikin Malaysia baharu .

Syarikat itu juga akan meningkatkan aktiviti R&D di Pusat Inovasi R&D Daikin dengan nilai keseluruhan projek adalah sehingga RM355 juta manakala Dai-ichi Seiko Co. Ltd. merancang menubuhkan kemudahan baharu di Taman Teknologi Nusajaya, Johor Bahru.

Syarikat itu akan mengendalikan pembuatan bahagian-bahagian plastik untuk sensor automotif dengan pelaburan yang dicadangkan sebanyak RM297 juta. -MalaysiaGazette

Misi perdagangan dan pelaburan yang diketuai Menteri Datuk Darell Leiking itu turut melakukan kunjungan ke Nissan Motor Corporation dan syarikat peneraju global dalam instrument analisis dan ukur, Shimadzu Corporation.-MalaysiaGazette