Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir bagi mendengar pembentangan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2018
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir bagi mendengar pembentangan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa sedih dengan penahanan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib yang turut pernah mengalami penahanan seumpama itu menasihati Zahid supaya terus tabah menghadapi dugaan apabila ditahan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana sebuah yayasan.

“Saya turut sedih dengan apa yang telah berlaku kepada Zahid pada hari ini. Semoga beliau tabah hadapi dugaan ini.

“Pada masa yang sama, saya sangat berharap prinsip rule of law ini diamalkan dengan telus. Sistem keadilan dan ketelusan perlu dibuktikan ketika perjalanan kes ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas penahanan Zahid sejurus selepas selesai sesi pembentangan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas, 2016-2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Zahid yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri ditahan pada jam 3.15 petang tadi di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas mendapat kelulusan mendakwanya daripada Jabatan Peguam Negara.

Menurut SPRM, Zahid akan didakwa dengan beberapa pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau dijangkan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur awal pagi esok. – Malaysia Gazette

Zahid sah ditahan, didakwa esok