Seorang pekerja pembinaan membuat kerja-kerja ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette melawat tapak pembinaan pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) City di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, 2017, bilangan Bumiputera dalam kategori pekerjaan mahir mengikut kumpulan etnik meningkat daripada 59.4% pada tahun 2014 kepada 61.4% pada tahun 2017.

Bagaimanapun, hanya 29.4% daripada keseluruhan guna tenaga Bumiputera berada dalam kategori pekerjaan mahir tersebut, menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11.

Situasi ini menunjukkan kebanyakan Bumiputera bekerja dalam industri yang mempunyai nilai ditambah yang rendah dengan pekerjaan bergaji rendah.

Peratusan isi rumah Bumiputera memiliki sekurang-kurangnya seunit kediaman telah meningkat sedikit daripada 72.7% pada tahun 2014 kepada 73% pada tahun 2016, berbanding sasaran sekurang-kurangnya 75% pada tahun 2020.

Jumlah nilai transaksi hartanah komersial dan industri bagi pasaran primer yang melibatkan Bumiputera telah berkurangan daripada RM291.3 juta pada tahun 2015 kepada RM226.1 juta pada tahun 2016.

Nilai ini menunjukkan penurunan sebanyak 20.4%, kesan daripada pertumbuhan ekonomi global yang perlahan.

Di samping itu, ekuiti korporat Bumiputera masih di bawah sasaran sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah pemilikan ekuiti korporat.

Kedudukan ini telah memberi kesan kepada keseluruhan pegangan pemilikan kekayaan Bumiputera.

Di samping itu, majoriti usahawan Bumiputera adalah dalam kategori perusahaan mikro dan kecil serta sangat bergantung kepada bantuan kerajaan dan mudah terjejas akibat persaingan pasaran yang sengit. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan