Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membentangkan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berharap pelaksanaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 akan mengubah imej Malaysia dari sebuah negara kleptokrat kepada sebuah negara demokrasi tulen dengan kerajaan yang bersih, luhur dan berintegriti.

Perdana Menteri berkata, jika semua yang terkandung dalam kajian itu dilaksanakan, Malaysia akan mengaum kembali sebagai Harimau Asia.

Warga negara ini di seluruh pelosok dunia boleh memperkenalkan diri dengan bangga sebagai rakyat Malaysia, tambah beliau.

“Inilah tekad kita. Inilah janji kita. Saya berdoa kepada Tuhan agar kita dapat melaksanakannya bersama seluruh bangsa Malaysia,” katanya beliau sebelum menutup pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11 di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir juga berpesan kepada golongan muda yang menjadi harapannya supaya belajar segala ilmu yang boleh menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Dapatkan kemahiran. Perkukuhkan jati diri. Pegang teguh pada agama dan nilai-nilai murni. Tolak rasuah dengan sekeras-kerasnya. Hayati kebenaran, kejujuran dan keadilan. Ayuh kita semua berganding bahu dan bersatu untuk mencipta masa depan Malaysia lebih gemilang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan