Projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang giat dilaksanakan bukan sahaja bakal memudahkan pengguna jalan raya di Sarawak, malah sebuah kampung di Batu 36, Jalan Bintulu-Miri di sini bakal memiliki masjid baharu kesan positif pembangunan projek itu.
Projek Lebuhraya Pan Borneo.

KUALA LUMPUR – Hampir keseluruhan inisiatif untuk mentransformasi kawasan luar bandar telah dilaksana mengikut perancangan dengan mencatat pencapaian 50 peratus daripada sasaran RMK-11, menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11.

Inisiatif ini termasuk membina dan menaik taraf jalan dan bekalan elektrik luar bandar, meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas serta menambah baik hubungan antara luar bandar dan bandar.

Kegagalan untuk menangani isu tersebut secara komprehensif akan melebarkan jurang antara bandar dan luar bandar dan ketidakseimbangan pembangunan wilayah, menjejaskan produktiviti di kawasan luar bandar dan menyumbang kepada migrasi luar bandar ke bandar.

Keseluruhan usaha pihak berkuasa koridor ekonomi wilayah telah menyumbang ke arah mengurangkan ketidakseimbangan wilayah melalui pelaksanaan program dan projek yang merangsang aktiviti ekonomi.

Program dan projek ini yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi Persekutuan dan negeri telah menarik pelaburan swasta yang lebih tinggi dan mewujudkan kesan limpahan kepada kawasan sekitar dan hab ekonomi.

Di samping itu, pelbagai program pembangunan modal insan telah dijalankan untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja terutama di kawasan luar bandar.

Koridor ekonomi wilayah telah melaksana beberapa program kemahiran dan keusahawanan yang menyumbang kepada pewujudan pekerjaan, usahawan dan peluang perniagaan yang menarik pelaburan ke wilayah tersebut.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) menggunakan definisi pelaburan direalisasi sebagai jumlah nilai pelaburan yang komited semasa permulaan projek.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) menggunakan definisi pelaburan direalisasi sebagai nilai yang dilaburkan dalam projek untuk tahun semasa atau berdasarkan jumlah kerja yang telah disiapkan.

Aktiviti yang dilaksana koridor ekonomi wilayah telah menyumbang kepada peningkatan taraf hidup masyarakat setempat dan pengurangan jurang kemahiran bandar dan luar bandar.

Pelaksanaan projek dan program dalam koridor ekonomi wilayah telah menyumbang kepada pelaburan direalisasi sebanyak RM107.2 bilion yang merupakan 45.4% daripada sasaran RMKe-11.

Sejumlah 147,627 pekerjaan telah diwujudkan dalam tempoh kajian semula iaitu bersamaan 31.4% daripada sasaran RMK-11.

Pencapaian ini disumbangkan oleh fasilitasi yang lebih baik kepada pelabur, ekosistem yang menyokong pelaburan dan insentif yang bersesuaian.

Meskipun mencatat kemajuan, pertumbuhan di wilayah yang kurang maju secara relatifnya adalah lebih perlahan berbanding wilayah yang lebih maju, menunjukkan ketidakseimbangan wilayah masih wujud. – MalaysiaGazette