Menara telekomunikasi

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan kembali agenda pembangunan wilayah yang seimbang sebagai keutamaan bagi memastikan peruntukan pembangunan lebih saksama kepada negeri Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penyelarasan antara negeri bagi penyediaan infrastruktur akan dipertingkat untuk mengoptimum penggunaan sumber serta memoden dan mempelbagaikan asas ekonomi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, kerajaan akan memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Untuk itu, rangkaian jalan raya akan diperluas dengan membina dan menaik taraf 1,500 kilometer lagi jalan luar bandar.

Kerajaan juga memperluas akses kepada bekalan air bersih dan terawat meliputi sasaran 60,000 tambahan rumah, meluaskan akses bekalan elektrik kepada sasaran 41,160 tambahan rumah.

Selain itu, infrastruktur digital akan dipertingkat untuk memperluas liputan dan menambah baik kualiti jalur lebar melalui pembinaan 300 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 1,000 menara sedia ada.

“Aktiviti ekonomi setempat di luar bandar akan ditingkatkan untuk menjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan.

“Aktiviti ekonomi luar bandar yang mampan seperti industri asas tani, ekopelancongan dan agropelancongan juga akan digalakkan,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11.

Bantuan akan diberi termasuk menyediakan premis perniagaan untuk usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di luar bandar.

Dr Mahathiir berkata, kerajaan akan mengagihkan pendapatan minyak dan gas secara saksama mengikut perundangan sedia ada.

Satu Jawatankuasa Khas Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji semula dan memantau pelaksanaan yang wajar bagi Perjanjian Malaysia 1963.

“Demi kemakmuran rakyat di Sabah dan Sarawak, infrastruktur
asas seperti bekalan air dan elektrik luar bandar turut akan dipertingkat.

“Beberapa inisiatif akan dilaksana termasuk meningkatkan liputan jalur lebar di kawasan luar bandar meliputi pembinaan 106 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 400 menara sedia ada,” katanya.

Kerajaan juga akan menyediakan 7,000 unit rumah mampu milik serta menaik taraf 400 buah sekolah daif.

Dari segi kemudahan kesihatan, tiga buah hospital akan dinaik taraf, iaitu di Papar, Miri dan Lawas.

Aktiviti pengukuran dan pemetaan Hak Tanah Adat akan dilaksana bagi membolehkan tanah adat dibangunkan,” MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan