Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) bersama Mohamad Ariff Md Yusof dalam pertemuan di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mempertahankan pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen untuk melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok.

Ia selaras dengan Artikel 8 WHO FCTC dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penguatkuasaan peraturan ini menunjukkan bahawa melindungi kesihatan rakyat adalah penting dan ia mesti bermula dengan institusi Parlimen.

Sehubungan itu, KKM tidak akan menarik semula keputusan pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen.

Katanya, pendirian itu telah disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat  bersama Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, Ketua Unit Kawalan Tembakau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Nor Aryana Hassan dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli.

Bagaimanapun hasil pertemuan itu, Parlimen bersetuju untuk menyediakan ruang merokok alternatif sementara di luar bangunan tersebut sehingga satu ruang merokok alternatif tetap di luar bangunan Parlimen disediakan.

Sementara itu dalam usaha mencapai sasaran ‘sifar rokok’ dalam bangunan Parlimen dan kafeteria di dalam premis Parlimen, KKM dengan kerjasama rakan kongsi perkhidmatan berhenti merokok, mQuit.

Ia akan menyediakan perkhidmatan rawatan berhenti merokok dengan menawarkan rawatan ubatan permulaan di ruang legar bangunan Parlimen. – MalaysiaGazette