Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi global diunjur mengukuh kepada 3.7 peratus setahun dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Ke-11.

Bagaimanapun, prestasi yang bercampur dijangkakan merentas rantau dengan pertumbuhan kukuh di rantau Asia Pasifik, pertumbuhan lebih seimbang di Amerika Syarikat (AS) dan pengembangan yang sederhana di kawasan euro disebabkan United Kingdom menarik diri daripada Kesatuan Eropah.

Ekonomi negara maju diunjur berkembang sederhana pada kadar purata sebanyak 2.1% setahun manakala pasaran baru muncul dan ekonomi sedang membangun dijangka berkembang pesat sebanyak 3.8% setahun.

Manakala perdagangan dunia dijangka berkembang pesat pada kadar 4.2% setahun, terutama disumbangkan oleh eksport pasaran baru muncul dan ekonomi sedang membangun pada kadar 4.8% setahun.

Momentum ini akan menyediakan akses yang lebih luas ke pasaran global dan memaksimum potensi pertumbuhan Malaysia.

Inflasi dunia juga dijangka meningkat, iaitu sebanyak 3.4% setahun berikutan harga komoditi global yang lebih tinggi.

Potensi risiko kelembapan ekonomi merangkumi kemerosotan sokongan terhadap integrasi ekonomi global, peningkatan ketegangan perdagangan dan dasar perlindungan yang diterima guna oleh ekonomi utama serta ketidaktentuan geopolitik. – MalaysiaGazette