Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 di Parlimen. foto: FAREEZ FADZIL 18 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Program-program khusus akan dilaksanakan dalam usaha memperkasa kumpulan minoriti terdiri daripada suku-suku kaum Sabah dan Sarawak serta orang asli, di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Antara inisiatif yang akan dilaksana termasuk penawaran lebih banyak program dan peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan.

Bagi kumpulan tertentu dalam kalangan masyarakat India dan Cina, beberapa program khusus akan dilaksana bagi membangunkan potensi ekonomi mereka dan membasmi kemiskinan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 hari ini.

Menurutnya, reformasi Agenda Pemerkasaan Bumiputera akan terus diberi penekanan, antara inisiatif yang diambil adalah perubahan minda yang positif dan penerapan nilai murni, pengukuhan keberkesanan intitusi dan program, pemerkasaan modal insan dan pengukuhan pendidikan dan latihan.

Pelbagai program dan inisiatif akan dilaksana untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak, belia, wanita, institusi keluarga, warga kurang upaya dan warga emas.

Antaranya ialah membangunkan Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-kanak serta program pembangunan dan pemerkasaan belia.

Bagi mempertingkat penglibatan wanita dalam pasaran buruh, majikan digalakkan untuk menyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan aturan kerja yang fleksibel.

Selain itu, program pembangunan keluarga seperti kemahiran keibubapaan, menyemak semula dasar dan perundangan yang berkaitan orang kurang upaya dan menggalakkan persekitaran penuaan yang aktif bagi warga emas akan dilaksanakan. – MalaysiaGazette