Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengimbangi objektif pertumbuhan ekonomi dan inisiatif pengukuhan fiskal bagi memastikan pembangunan yang berterusan dan inklusif tanpa merencatkan prospek pertumbuhan.

Justeru, projek pembangunan sosioekonomi berimpak tinggi akan diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jurang pembangunan yang masih wujud antara negeri akan dikurangkan dengan memberi penekanan yang lebih besar kepada negeri yang kurang membangun, terutamanya Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, bagi memastikan pertumbuhan wilayah yang lebih seimbang.

Lebih banyak langkah juga akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat, khususnya isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Menurutnya, melangkah ke hadapan, kerajaan perlu sentiasa peka terhadap risiko dalam menghadapi kemungkinan berlakunya kejutan dan ketidaktentuan ekonomi global seperti peningkatan kerentanan kewangan, perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

Risiko dan cabaran ini menekankan kepentingan mempunyai dasar ekonomi yang anjal, pengurusan kewangan awam yang kukuh dan kedudukan fiskal yang mampan.

Dasar ekonomi makro perlu disesuaikan supaya mampu bertindak balas terhadap kejutan serta dapat meningkatkan daya tahan ekonomi.

Namun, beberapa pengorbanan sementara diperlukan dengan pencapaian pertumbuhan ekonomi yang lebih sederhana dalam jangka pendek demi memastikan asas yang lebih kukuh ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan inklusif dalam jangka panjang.

Tambah Azmin, kerajaan, sektor swasta dan rakyat membingkai muafakat untuk memastikan kejayaan pelaksanaan keutamaan dan penekanan baharu ini dalam tempoh akhir Rancangan.

Kerajaan baharu ini akan memastikan manfaat pembangunan akan dapat dinikmati oleh semua.

“Kita hendaklah terus berusaha bersungguh-sungguh dan berkhidmat dengan penuh integriti untuk menunaikan amanah yang diberi kepada kita bagi memacu negara tercinta ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan