Baru Bian
Menteri Kerja Raya Baru Bian

KUALA LUMPUR – Rakyat boleh berhenti daripada terus bermimpi untuk memiliki lebuh raya tanpa kutipan tol sehingga keadaan keadaan kewangan negara dapat dipulih dan kembali stabil.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, selagi pendapatan negara tidak dipulihkan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan tetap pendirian untuk tidak menghapuskan kutipan tol.

“Dasar kerajaan ini jelas dan kita tidak akan menghapuskan tol sampai keadaan kewangan negara ini dipulihkan dan sampai ke satu tahap yang sihat. Itu keputusan kerajaan sekarang ini

“Terpulang kepada rakyat (terus bermimpi) dasar kerajaan jelas tidak akan menghapuskan tol sampai tahap keadaan kewangan negara dipulihkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Pasir Mas-Pas), Ahmad Fadhli Shaari meminta kepastian sejauh mana rakyat Malaysia perlu berhenti bermimpi untuk memiliki lebuh raya tanpa tol di negara ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan semasa berada di Bali, Indonesia berkata, pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan di negara ini.

Mahathir mendedahkan beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Sementara itu, Baru Bian enggan memberi jaminan bahawa tiada lebuh raya baharu tanpa tol akan diwujudkan sesuai dengan dasar kerajaan sekarang untuk tidak menghapuskan bayaran itu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan sedang mencari alternatif dan di peringkat perbincangan bagi meringankan beban rakyat dan pengguna lebuh raya di negara

“Betul kerajaan sekarang ini tidak akan menghapuskan tol tapi kita masih dalam perbincangan di mana kita cari alternatif

“Antaranya merendahkan tol dan mungkin ada kadar rata dan mungkin memberi diskaun hingga 20 peratus pada waktu puncak,” katanya.

Beliau turut memberi gambaran bahawa kadar kutipan tol tidak akan dinaikkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Mungkin kita tidak akan menaikkan tol dalam masa 2 atau 3 tahun, ini dalam perbincangan.

“Lebuh raya kita tidak akan bertol sampai kita ke satu peringkat di mana kewangan negara stabil dan dipulihkan kepada satu peringkat yang sihat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette