Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kutipan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada tahun ini adalah RM21 bilion setahun berbanding dengan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM44 bilion yang dijangka dikutip pada tahun 2018.

Ini bermaksud, beban cukai ke atas pengguna adalah jauh lebih rendah kerana RM23 bilion telah dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk cukai yang lebih kecil.

Menteri Kewangan berkata, kKekurangan bayaran cukai ini tentu bermakna rakyat akan mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan berbanding dengan dahulu.

Perkara ini disebabkan oleh skop kenaan cukai sebanyak 60% daripada Bakul Barangan dan Perkhidmatan CPI (Indeks Harga Pengguna) yang lebih luas untuk GST berbanding dengan 38% daripada bakul tersebut di bawah SST, kata Lim Guan Eng.

Pengecualian sebanyak 5,443 item barangan dan perkhidmatan di bawah SST yang merupakan 10 kali ganda lebih besar daripada 545 item barangan yang dikecualikan di bawah GST; serta 11,197 barangan yang dikenakan cukai GST berbanding dengan 6,405 barangan yang dikenakan cukai SST.

Guan Eng berkata, sekiranya ada kenaikan harga barangan berikutan pelaksanaan SST pada 1 September 2018, kesannya secara am pasti lebih kurang berbanding dengan peningkatan yang disebabkan oleh pelaksanaan GST pada 1 April 2015 kerana kutipan cukai SST adalah jauh lebih kurang berbanding dengan GST.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengapakah masih wujud kekeliruan berkenaan pelaksanaan semula SST meskipun cukai ini telah digunakan sejak zaman 70an dan mengapakah setelah diperkenalkan semula ianya semakin membebankan dan
mengelirukan pengguna.

Guan Eng menambah, sejak SST dilaksanakan pada 1 September 2018, Kementerian Kewangan dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia telah meneliti segala maklum balas dan rayuan daripada pihak berkepentingan sektor perdagangan dan industri .

Susulan itu beberapa barangan daripada dikenakan cukai SST serta menyemak semula kadar cukai jualan ke atas barangan tertentu.

Antaranya, kad prabayar untuk telefon bimbit yang digunakan rakyat Malaysia, kacang tanah, komponen pemasangan tempatan (CKD) import untuk pemasang kereta francais tempatan, ikan masin, ikan pekasam, ikan jeruk, ikan masam, makanan laut di dalam kategori crustacean dan mollusk, pewter, beg plastik untuk pembungkusan beras, sewa ruang pejabat di dalam restoran, serta kapal, feri dan bot yang digunakan untuk pengangkutan awam dikecualikan daripada kenaan cukai SST.

Proses semakan semula kadar cukai SST ini masih berterusan dan keputusan untuk barangan yang terpilih akan diumumkan selepas ia dimuktamadkan.

Jelas sekali jumlah barangan dan perkhidmatan yang akan dicukai di bawah SST adalah jauh lebih kecil daripada semasa era GST.

Selain itu, perubahan harga ini tidak semata-mata dipengaruhi oleh faktor SST sahaja, tetapi juga disebabkan oleh faktor lain iaitu seperti masalah permintaan dan penawaran, kadar tukaran wang asing, harga pasaran minyak dunia dan margin keuntungan peniaga. – MalaysiaGazette