Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – – Usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi 2016-2020 disifatkan tidak lebih daripada ‘retorik’, selain daripada tidak pembaharuan.

Rrata-rata yang dibentangkan seolah-olah ‘ditiru’ dengan memberi penjenamaan semula sahaja.

Menurut Timbalan Presiden MCA merangkap Ahli Parlimen Ayer Itam, Datuk Seri Wee Ka Siong, pembentangan RMK11 itu sekadar ‘syok sendiri’ dan retorik semata-mata.

Jelas beliau, RMK11 sebenarnya banyak pada ‘pemukaan’ tetapi strategi secara khusus serta mendalam tidak pula diperihalkan sebenarnya.

“Inisiatif bina 200,000 rumah mampu milik itu. Ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, kita sudah ada, malah sasar sehingga 500,000 unit dalam tempoh lima tahun.

“Hakikatnya, ini tidak memberi apa-apa erti langsung. Rata-ratanya adalah rancangan serta inisiatif terdahulu, kesinambungan tetapi dari segi penjenamaannya sahaja berlainan,” katanya.

Beliau berkata demikian sejurus selepas tamatnya sesi pembentangan RMK11 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Tambah Ka Siong, enam tonggak yang telah digunakan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan ini sebenarnya adalah kesinambungan serta hasil inisiatif BN sebelum ini.

“Sebagai contoh, pembangunan modal insan itu sudah lama digunakan oleh kerajaan terdahulu sebenarnya. Saya langsung tidak nampak secara spesifik apa yang cuba dimaksudkan oleh kerajaan baharu ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette