RMK11
Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan melakukan semakan menaik sasaran defisit fiskal kepada tiga peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 berbanding sasaran awal 0.6 peratus yang diunjurkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) kira-kira tiga tahun lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika membentangkan Semakan Pertengahan Penggal RMK11 berkata, pertumbuhan ekonomi disasarkan berkembang di antara 4.5 peratus sehingga 5.0 peratus setahun pada baki RMK11 disokong oleh permintaan dalam dan luar negara terutamanya permintaan kukuh dalam kalangan negara rantau Asia.

Permintaan swasta dijangka kekal memacu pertumbuhan ekonomi dengan pelaburan swasta diunjur berkembang 5.7 peratus setahun.

Ini berbeza dengan sasaran awal RMK11 yang menjangkakan ekonomi bakal berkembang sekitar 5.0 hingga 6.0 peratus

“Sesuatu yang menidakkan kesahihan angka prestasi ekonomi negara adalah amalan peruntukan “off-budget” iaitu pengasingan urusan kewangan di luar bajet.

“Jika hutang, perbelanjaan, kehilanan wang berbilion diambil kira maka kedudukan kewangan negara tidaklah sebaik seperti angka yang dicatatkan di atas.

“Kerajaan BN telah berbelanja boros dan tidak berhemat,” katanya ketika pembentangan di Parlimen hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, kerajaan terpaksa melakukan langkah berjimat-cermat bagi tempoh 2018-2020 dan sedar ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Namun begitu, beliau yakin keadaan tersebut hanya bersifat sementara.

“Saya yakin dengan langkah membasmi ketirisan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Katanya, antara langkah proaktif yang telah berjaya diambil adalah menangguhkan pelaksanaan Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) tetapi dalam masa yang sama kerajaan perlu memastikan pengurangan perbelanjaan awam tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi. – MalaysiaGazette