Donald Trump
Donald Trump

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau cuba melindungi kerajaan Arab Saudi dalam isu kehilangan serta ‘pembunuhan’ wartawan terkemuka, Jamal Khashoggi.

Agensi melaporkan, Trump sebaliknya mendedahkan dirinya masih lagi samar-samar tentang apa yang telah terjadi dengan Khashoggi dan mahu kebenaran.

“Saya tidak tahu apa yang telah tejadi ketika ini. Malah saya tahu saya tidak akan sesekali melindungi sesiapa termasuk Arab Saudi dalam isu ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rumah Putih hari ini apabila disoal adakah beliau ketika ini cuba melindungi mana-mana pihak terasuk Arab Saudi berhubung misteri kehilangan Khashoggi dan mungkin dibunuh.

Tambah Trump, beliau akan diberikan satu laporan lengkap berhubung penyiasatan yang menyelubungi kehilangan wartawan serta kolumnis The Washington Post itu.

Jelas Trump, Setiausaha Negara, Mike Pompeo bergegas ke Arab Saudi berhubung perkara ini dan akan diberikan taklimat tentangnya sebelum apa-apa tindakan susulan AS selepas itu.

Sebelum ini, Trump dilihat begitu tegas dan lantang mengkritik perkara ini malah begitu berani mengaitkan kehilangan Khashoggi dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Trump juga sebelum ini turut mendedahkan Khashoggi berkemungkinan besar telah dibunuh dengan kejam dalam konsulat Arab di Istanbul pada 2 Oktober lepas.

Namun semalam, nada Trump dilihat seperti bertukar apabila memberi bayangan beliau percaya dengan penafian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulziz Al-Saud dan Mohammed bin Salman bertanggungjawab dan memberi amaran supaya tidak terburu-buru membuat penilaian.

jamal
Jamal Khashoggi. foto Agensi

Wartawan kelahiran Arab Saudi yang menetap di AS merupakan kolumnis Washington Post sejak dua tahun lepas.

Khashonggi yang turut mengkritik Mohammed bin Salman tidak dilihat sejak 2 Oktober lalu, apabila beliau memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk mengambil dokumen rasmi bagi melangsungkan perkahwinannya. – MalaysiaGazette