Keadaan sosial di Malaysia adalah stabil dan menggambarkan budaya toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan pelbagai usaha dan inisiatif dalam memperkukuh kesepaduan sosial dan memupuk perpaduan nasional telah menyatupadukan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Ini dibuktikan menerusi penganjuran acara dan aktiviti yang menyatukan rakyat termasuk sukan, sambutan perayaan, bantuan bencana dan kerja amal.

Namun, Kajian Separuh Penggal RMK-11 berkata, masih wujud kebimbangan mengenai impak polarisasi sosial dan kewujudan sistem pendidikan yang pelbagai yang memberi kesan terhadap perpaduan nasional.

Selain itu, penglibatan sektor korporat dalam memupuk perpaduan nasional masih di tahap yang kurang memuaskan.

Sementara itu, Indeks Ketegangan Masyarakat yang mengukur tahap ketegangan masyarakat dalam negara telah meningkat kepada 11.5 kes per sejuta penduduk pada tahun 2017 berbanding 9.6 kes pada tahun 2015.

Meskipun indeks tersebut meningkat, ianya masih rendah berbanding had nasional iaitu 18 kes.

Skor ini menunjukkan bahawa keadaan sosial di Malaysia adalah stabil dan menggambarkan budaya toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan