Amran Ahmad
Amran Ahmad. foto AFFAN FAUZI, 07 MEI 2018

KUALA LUMPUR – DAP telah melucutkan keahlian Amran Ahmad berkuatkuasa 15 Oktober lalu menerusi sepucuk surat rasmi yang dihantar kepada bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Cawangan Utusan Melayu.

Amran dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan penerimaan surat pemecatannya sebagai ahli seumur hidup DAP itu semalam.

Menurut Amran, keputusan itu diterima beliau dengan berlapang dada, sejajar dengan jangkaan dan memutuskan untuk tidak merayu.

Malah katanya, dengan penerimaan surat pemecatan itu, beliau beranggapan beliau juga ‘kehilangan’ jawatan timbalan pengerusi biro buruh DAP.

“Saya tidak akan merayu kerana menyertai DAP sebagai Democratic Action Party kira-kira 10 tahun yang lalu tetapi dipecat dari Developers Action Party, DAP yang saya anggap telah berubah hala tuju dan dasar perjuangannya selepas mendapat kuasa.

“Saya dipecat kerana mengkritik tindakan DAP menyebarkan fitnah serta melakukan propaganda jahat sebelum PRU14, apa salah saya menegakkan kebenaran dan mengkritik tindakan salah parti atas nama demokrasi yang kononnya menjadi tunjang perjuangan DAP.

“Saya menganggap bahawa tindakan pemecatan saya dari DAP ini sebagai suatu pengkhianatan dan tidak mengenang jasa dan pengorbanan dua generasi orang Melayu dalam DAP setelah arwah bapa saya, Allahyarham Ahmad Nor menyertai DAP pada tahun 1986 dan menjadi ahli Parlimen Melayu yang pertama dari DAP, “katanya dalam kenyataan di sini.

dap pecat amran ahmadUntuk rekod, Amran menyertai DAP pada 2009 selepas menerima panggilan daripada Lim Kit Siang yang memintanya berjumpa beliau di ibu pejabat DAP pada Oktober tahun yang sama sebelum diserahkan borang keahlian oleh Tony Pua yang turut membayar yuran keahliannya ketika itu.

Sementara itu, Amran merasakan bahawa tidak wujud keperluan untuknya berada dalam parti yang menjual prinsip perjuangan dan maruah semata-mata kerana kuasa dan jawatan.

Beliau membidas DAP yang menyelar Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perompak negara 5 tahun yang lalu tetapi menyembah perdana menteri itu saban hari.

“Saya bersedia untuk tidak memandang ke belakang lagi dan meneruskan perjuangan menjadikan Malaysia negara yang lebih baik atas platform lain dengan tekad – Biar mati berdiri, dari hidup melutut pada parti yang cauvinis dan sangat perkauman ini.

“Semoga apa yang menimpa saya ini membuka mata rakyat negara ini terutama orang Melayu yang menyimpan hasrat untuk berjinak-jinak dengan DAP,” tegasnya.

DAP dalam surat yang dikirinkan kepada Amran itu menyatakan pemecatan keahlian Amran berkuatkuasa serta merta.

“Mengikut Klausa VII Perenggan 3 Perlembagaan DAP, kamu dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat pemecatan ini dikeluarkan boleh merayu terhadap keputusan itu kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti ini,” menurut surat yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Chong Chieng Jen. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan