Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menerima notis serah diri berhubung dakwaan penyalahgunaan wang dana dalam Yayasan Akalbudi di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2018.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menerima notis serah diri berhubung dakwaan penyalahgunaan wang dana dalam Yayasan Akalbudi di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Selepas lima kali dipanggil memberi keterangan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini selepas menerima notis serah diri.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu hadir tepat pukul 3 petang memakai baju batik dengan menaiki kenderaan SUV Lexus berwarna putih.

Sebaik keluar dari kenderaan, Ahmad tersenyum ceria sambil sambil melambai kepada pengamal media yang menunggu sejak pukul 2 petang.

Turut kelihatan di luar Ibu Pejabat SPRM puluhan ahli parti yang hadir memberi sokongan kepada beliau.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam memdedahkan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sudah diberikan notis serah diri untuk ditahan.

“Beliau diarahkan untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM 3  petang esok dan dijangka didakwa keesokan harinya (Jumaat),” kata Lokman dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyeru semua rakyat, khususnya ahli dan kepimpinan UMNO untuk hadir sama sebagai tanda #Solidariti4PresidenUMNO pukul 9 malam di hadapan Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya dan pukul 8 pagi di Mahkamah Seksyen Jalan Duta, di sini.

Minggu lalu, Zahid diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut oleh SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Sebelum itu, beliau telah dipanggil memberi keterangan sebanyak dua kali.

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dikaitkan dengan beliau untuk digunakan menjelaskan hutang kad kredit milik beliau dan isterinya membabitkan nilai mencecah RM800,000.

Zahid adalah pengerusi yayasan itu yang ditubuhkan pada 1977 dengan misi menghapuskan kemiskinan.

Beliau menafikan sebarang salah laku dan memaklumkan pegawainya tersilap menggunakan wang yayasan itu bagi membayar bil kad kreditnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan