Khairy Jamaluddin bersama para penyokong UMNO yang berada ddi luar perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberi sokongan kepada Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan pendakwaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini sebagai detik mencabar untuk parti itu.

Beliau mendakwa detik itu mungkin sengaja dicetuskan oleh pihak ‘sebelah sana’.

“Sudah pasti ini detik ini mencabar untuk UMNO yang mungkin disengajakan untuk meruntuhkan semangat dan institusi parti UMNO itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demkian di hadapan penyokong Zahid rata-rata terdiri daripada ahli UMNO di hadapan pintu masuk Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Lantaran itu, Khairy meminta semua penyokong supaya terus beristiqamah dan terus setia bersama parti demi perjuangan agama dan bangsa.

Katanya, sokongan padu berkenaan bagi membuktikan bahawa UMNO dan BN boleh menjadi pembangkang yang relevan dan kuat serta berwibawa.

“Selepas ini kita akan bangkit membuktikan UMNO tetap relevan dan masih disokong kuat oleh rakyat jelata.

“Dengar ura-ura ada dalam kalangan ahli Parlimen UMNO tidak setia dan keluar parti..maka ini saya datang ke sini untuk membuktikan kesetiaan saya kepada parti keramat kami.

“Saya juga melihat ramai ahli akar umni datang dari jauh untuk memberi sokongan kepada parti untuk bangkit melawan kezaliman dan segala ujian getir,” tegasnya lagi.

1370e493-37ce-4ab7-97bc-d63d48113da0

Semalam, Khairy menerusi laman sosialnya berkata, beliau mendoakan Presiden UMNO itu.

Ahmad Zahid yang didakwa di mahkamah hari ini telah menyerah diri di SPRM petang semalam. – MalaysiaGazette