Sebahagian penyokong berhimpun bagi memberi sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah sesyen bagi menghadapi pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – UMNO kini bukan sahaja ditentang habis-habisan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi juga Lim Kit Siang.

Kit Siang disifatkan sebagai tangan ghaib yang sedang menggerakkan penentangan terhadap UMNO selepas melihat UMNO semakin ‘tidak duduk diam’.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, individu-individu ini perlu ditolak kerana telah bermain dengan politik kebencian di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mahu penyokong-penyokong UMNO bangkit melawan hipokrasi.

Perkataan itu dicadangkan oleh anak Ahmad Zahid, Nurulhidayah ketika berkumpul di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia malam tadi.

Armand berkata, hipokrasi membawa makna mana-mana pemimpin DAP yang dipenjara dan menentang Dr Mahathir dahulu kini kembali ‘jilat dan ampu’ Perdana Menteri itu.

Tambahnya, penyokong jangan sesekali menggunakan laungan reformasi kerana perkataan itu digunakan oleh PKR sebelum ini.

“Sejarah telah menunjukkan undang-undang ditegakkan oleh kerajaan Barisan Nasional tetapi undang-undang itu telah dicarik dan dirogol,” katanya di hadapan 1,000 penyokong  Presiden UMNO itu yang berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Armand juga mengajak rakyat supaya menolak undang-undang rimba yang dicetuskan oleh Dr. Mahathir dengan melemparkan fitnah keji terhadap UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut menyatakan beliau tidak takut dipenjarakan tetapi memberi amaran jangan ‘memenjarakan perjuangan’ parti keramat itu.

Malah, beliau turut meminta pihak polis memberi kerjasama kepada para penyokong Ahmad Zahid untuk berada di perkarangan kompleks mahkamah tersebut.

“Minta pihak polis beri kerjasama, kita boleh sabar, tetapi sabar ada batas. Kita bukan tidak hormat undang-undang, kalau tak hormat kita dah langgar pagar mahkamah ini.

“Kita bukan Bersih tetapi lawan tetap lawan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette