Nga Kor Ming

KUALALUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong bersetuju untuk memanjangkan isu penghapusan hukuman mati ke Kabinet pada Jumaat, termasuk berbincang sama ada mahu menyerahkannya untuk dikendalikan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang mendedahkan perkara itu berkata, isu mengenai hukuman mati memerlukan penelitian dan kerajaan harus mendengar suara rakyat.

“Jawatankuasa Pemilih Parlimen dibentuk oleh wakil rakyat pembangkang dan kerajaan, oleh itu ia tidak dikuasai satu-satu pihak.

“Saya berpendapat bahawa isu ini harus mendapat jalan penyelesaiannya melalui Jawatankuasa Pemilih Parlimen,” katanya kepada Sinchew Daily.

Katanya lagi, sekiranya sesi pendengaran diadakan, ia dapat mengumpul maklum balas dan mendidik masyarakat tentang isu itu.

“Dalam proses ini, rakyat dapat menilai dan mempertimbangkan semula pandangan yang ada,” katanya.

Kor Ming berkata, pemansuhan hukuman mati merupakan satu “projek besar” kerana ia membabitkan pemindahan 32 akta.

“Ini termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

“Jika mahu meminda semua 32 akta ini, setiap daripadanya perlu dibahaskan. Ia merupakan proses yang rumit dan bukannya sesuatu yang boleh diselesaikan di hujung jari,” katanya. – MalaysiaGazette

Hukuman mati bukan langkah pencegahan terbaik

Kenapa sibuk nak mansuh hukuman mati, mansuh tol dulu – MCA

Hukuman mati wajar diteruskan bagi kes dadah

Sampah masyarakat tidak layak diberi peluang kedua

Tinggalkan Jawapan