Mohamad Ariff Md Yusoff (tengah) bersama Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell (kiri) yang hadir pada Program Advokasi Ahli Parlimen di Dewan Negara, Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 19 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menyifatkan isu larangan merokok di bangunan Parlimen bukan masalah besar.

Tanpa mengulas lanjut, beliau berkata isu yang mendapat perhatian dan menjadi kontreversi itu  diyakininya akan dapat diselesaikan secara baik.

“Biar saya beri awak satu ayat. Perkara itu telah diuruskan. Ia bukan suatu masalah, tidak ada apa-apa dalam dunia ini yang tidak boleh diselesaikan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas Program Advokasi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian Kesihatan telah mengisytiharkan seluruh bangunan Parlimen termasuk tempat makan dan sudut merokok sebagai kawasan larangan merokok pada 15 Oktober lalu.

Susulan daripada pengosytihran itu, lapan kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang tidak mengendahkan larangan berkenaan termasuk seorang anggota parlimen.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul kemudian membangkitkan isu bidang kuasa Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad yang mengenakan larangan berkenaan.

Bagaimanapun Kementerian Kesihatan tidak akan menarik balik penguatkuasaan larangan berkenaan kerana ia bertujuan melindungi orang yang tidak merokok dari bahaya asap rokok.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Vicki Treadell percaya isu ini tidak akan berlanjutan.

Katanya, Britain juga melaksanakan larangan merokok sebelum ini dan berhadapan dengan tentangan sebelum diterima baik oleh semua pihak sebagai langkah-langkah pemeliharaan kesihatan.

MGF19102018_UKWFD_08
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Vicki Treadell bercakap kepada media selepas Program Advokasi Ahli Parlimen di Dewan Negara, Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 19 OKTOBER 2018.

“Kami perkenalkan sebelum ini larangan merokok di semua bangunan kerajaan termasuk bangunan Parlimen. Sudah tentu ada sedikit bantahan tapi tidak ada orang bercakap tentangnya sekarang di Britain.

“Semua sudah menerima larangan merokok itu untuk kepentingan kesihatan semua orang,” katanya. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan