Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipeluk oleh seorang penyokongnya ketika menemui orang ramai yang menunggu beliau yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan menggunakan pentas mahkamah sebagai tempat membela diri dan menjawab segala pertuduhan terhadap beliau.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau redha dengan 45 pertuduhan yang dilemparkan kepada beliau dan menyerahkan kepada Allah untuk menentukannya.

“Saya redha dengan tuduhan yang telah dikenakan kepada saya dan atas keredaan ini adalah untuk menentukan bahawa segala apa yang saya terima adalah satu ujian daripada Allah SWT kepada segala usaha yang saya lakukan dan sedang lakukan.

“Saya rasa bahawa sebarang kerja amal baik yang kita lakukan masih lagi dianggap sebagai satu yang melanggar perundangan dan saya akan gunakan mahkamah sebagai tempat terbaik bukan hanya untuk melakukan pembelaan terhadap semua pertuduhan berkenan tetapi untuk menjelaskan perkara yang termasuk dalam pertuduhan berkenan.

“Saya akan buktikan bahawa apa yang saya lakukan dengan pembinaan beberapa premis untuk syumul Islam dan untuk pembinaan Maahad Tahfiz, masjid surau rumah anak yatim dan lain-lain kebajikan untuk kebaikan kaum dan agama,” katanya kepada media selepas selesai membayar wang ikat jamin berjumlah RM1 juta hari ini sebagaimana yang diarahkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan pecah amanah dengan jumlah tertinggi RM17 juta, di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, serta 8 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Baki 27 pertuduhan lagi berkaitan pengubahan wang haram yang berjumlah RM72 juta, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Mahkamah Sesyen di sini menetapkan ikat jamin RM2 juta ke atas Ahmad Zahid yang menghadapi 45 pertuduhan tersebut. -MalaysiaGazette