Mazlan Aliman

PUTRAJAYA – Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman hari ini dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang baharu.

Watikah pelantikan kepada Anggota Jawatankuasa Amanah Nasional itu disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub pada satu majlis di sini hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pengarah Urusan IM Global Ishak Ismail sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Dalam sidang medianya selepas itu, Salahuddin berkata tempoh lantikan ketiga-ketiga mereka berkuatkuasa 1 November sehingga 31 Oktober 2020.

Beliau berkata lantikan tersebut yang diyakini mampu melonjakkan peranan dan perkhidmatan tiga agensi utama itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.- BERNAMA