Mohd Nasir Ahmad

KUALA LUMPUR – CIMB Group telah menerima ‘lampu hijau’ dari Bank Negara Malaysia untuk melantik Datuk Mohd. Nasir Ahmad sebagai Pengerusi berkuatkuasa pada 20 Oktober ini.

Beliau akan menggantikan Datuk Seri Nazir Razak yang melepaskan jawatan pada hari ini.

Mohd. Nasir telah menyertai Lembaga Pengarah CIMB sejak tahun 2015 dan merupakan Pengarah Bebas Kanan sejak April tahun 2016.

Nazir telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi dan semua jawatan lain dalam syarikat kumpulan CIMB pada 24 September lalu.

Saya menghabiskan masa selama 29 tahun di sini dan inilah satu-satunya pekerjaan saya dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk CIMB. - Nazir Razak
Nazir Razak

“Beliau (Mohd. Nasir) sudah biasa dengan perniagaan CIMB dan dikenali oleh pihak berkepentingan dalam dan luar CIMB.

“Sebagai sebahagian daripada pelantikan ini, Mohd. Nasir akan melepaskan jawatannya sebagai pengarah bebas kanan dan pengerusi jawatankuasa audit. kekal sebagai ahli lembaga pengarah jawatankuasa audit, jawatankuasa risiko dan penamaan kumpulan dan jawatankuasa imbuhan,” kata CIMB dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Nasir seorang akauntan bertauliah dan merupakan Felo Association of Chartered Certified Accountants, United Kingdom. Mohd. Nasir juga adalah ahli Majlis Global ACCA.

Nazir dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Mohd. Nasir.

“Tahniah kepada Datuk Mohd Nasir yang saya kenal sejak awal tahun 1990-an dan saya gembira lembaga pengarah telah melantik beliau yang boleh menjadi pengganti dengan segera.

“Oleh itu, saya telah melepaskan semua jawatan saya dalam Kumpulan CIMB berkuatkuasa dari hari ini, ” kata Nazir. – MalaysiaGazette