Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi memberi solidariti kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir ke mahkamah sesyen bagi menghadapi pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Tidak mudah mencari teman sejati seperti Datuk Seri Najib Razak, demikian pujian diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pada saat seperti ini bukan sahaja sukar mencari teman, tetapi rakan sendiri akan bertindak mengkhianati.

“Alhamdulillah, pada saat seperti ini, tak mudah cari teman sejati, yang mengaku kawan dulu bukan saja dah tinggalkan kita, lebih teruk lagi bila ada yang mengkhianati kita berulang kali.. Datuk Seri benar-benar teman sejati,” katanya menerusi Twitter.

Tun Faisal membuat balasan posting itu selepas Najib menunjukkan ketibaannya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebagai solidariti kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu pagi tadi.

Semalam Najib yang ditemui di Dewan Rakyat melahirkan rasa sedih dengan penahanan Ahmad Zahid oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib berharap agar Ahmad Zahid tabah menghadapi dugaan apabila ditahan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana sebuah yayasan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan pecah amanah dengan jumlah tertinggi RM17 juta, di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, serta 8 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Beliau juga didakwa bagi 27 pertuduhan lagi berkaitan pengubahan wang haram yang berjumlah RM72 juta, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan