PKR

MELAKA – Pemilihan PKR di Melaka dijadual berlangsung esok menyaksikan 9,387 anggota parti layak mengundi bagi memilih barisan pemimpin di peringkat pusat dan enam cabang di negeri ini.

PKR Melaka dalam kenyataan berkata, terdapat kira-kira 30,000 anggota PKR di negeri ini dan pemilihan bagi cabang Jasin akan diadakan di Dewan MPJ, Lipat Kajang; cabang Alor Gajah di Kompleks Japerun Machap;

Cabang Tangga Batu di Dewan Seminar Stadium Hang Jebat, Krubong; cabang Masjid Tanah di Dewan Tan Sri Abu Seman, Paya Rumput; cabang Bukit Katil di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh; dan cabang Kota Melaka di Dewan Japerun DUN Kesidang, Batu Berendam.

Menurut laman web pemilihan PKR (www.pemilihankeadilan2018.com), Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bertanding satu lawan satu bagi jawatan Ketua Cabang Jasin menentang Zulkefly Osman.

Shamsul Iskandar, juga Pengerusi PKR Melaka dan Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya, mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR di peringkat pusat menentang 11 calon lain.

Shamsul Iskandar pada 29 Julai lepas dilaporkan sebagai berkata PKR Melaka menyokong penuh gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu.

Menarik perhatian pertandingan jawatan Ketua Cabang Alor Gajah bakal menyaksikan pertembungan dua Exco Kerajaan Negeri Melaka dalam pertandingan tiga penjuru.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis; dan Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Hal Ehwal Orang Asli Melaka Ginie Lim; bakal menentang Ahmad Abdul Wahid.

Muhammad Jailani merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia dan Lim adalah ADUN Machap Jaya yang turut bertanding jawatan anggota Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR menentang 44 calon lain.

ADUN Klebang Gue Teck pula berhadapan saingan empat penjuru bagi jawatan Ketua Cabang Tangga Batu melawan Abdullah Ali, Rahmat Yusof, dan Alias Abd Wahab.

Anggota Parlimen Tangga Batu Dr Rusnah Aluai pula menghadapi Mohd Lokman Abd Gani dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang Tangga Batu dan Rusnah turut bertanding jawatan anggota Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR menentang 44 calon lain.

Blogger ‘Ratu Naga’ atau nama sebenarnya, Syarul Ema Rena Abu Samah bakal berdepan saingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Cabang Masjid Tanah dengan Abdul Wahab Ibrahim dan Halim Bachik.

Syarul Ema Rena juga bertanding untuk jawatan Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, menentang 87 calon lain. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan