Para penyokong berbaju merah berada di luar perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur menanti ketibaan Ahmad Zahid Hamidi dari Ibu Pejabat SPRM untuk didakwa pagi ini.

KUALA LUMPUR –  Kira-kira 1,000 orang berkumpul di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan didakwa pagi ini.

Dengan berpakaian merah, mereka berdiri di tepi-tepi jalan di luar kompleks tersebut seawal 7.30 pagi.

Laungan ‘Hidup Datuk Seri’ daripada penyokong Ahmad Zahid  bergema di luar pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

a927ec8d-8a43-4ebc-b8f1-0de85a5ecaf3

Mohamad Hasan dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin antara yang berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan turut menunggu di mahkamah seawal 7 pagi lagi sebagai solidariti kepada Presiden UMNO itu.

Barisan pemimpin UMNO antaranya Datuk Ahmad Maslan, Datuk Noraini Ahmad dan sayap Puteri Umno antara yang turut berada di situ.

383d95b4-0300-48e5-b983-3e35471e98cd

Ahmad Zahid ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) petang semalam selepas beliau menyerah diri pada pukul 3.15 petang.

Menurut kenyataan SPRM, penahanan beliau berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan sebuah yayasan.

Ahmad Zahid akan menghadapi 45 pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 membabitkan jumlah melebihi RM 100 juta.

Sementara itu, keadaan di mahkamah terkawal dengan hampir 100 anggota Pasukan Bertindak Ringan atau Light Strike Force berkumpul di pintu masuk utama kompleks mahkamah untuk mengawal keadaan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan