KUALA LUMPUR – Belum lagi reda dengan serangan netizen dan juga kenyataan media berkontroversi dalam kalangan Menteri kerajaan Pakatan (PH), kini Menteri Industri Utama, Teresa Kok pula menjadi bualan umum.

Apa yang kadang-kadang ‘mengecewakan’’ ialah apabila pemimpin-pemimpin hanya sekadar menyalahkan ‘media’ seandainya laporan berita bertukar kontroversi sehingga menjejaskan imej mereka.

Walaupun pada hakikat, bahan berita itu di tulis selepas pemimpin berkenaan mengeluarkan kenyataan atau memuat naik gambar tertentu.

Terbaru, Teresa yang dikenali sebagai ‘Sassy MP’ itu memuat naik gambar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam ketika pembentangan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 2016-2020.

Ahli Parlimen Seputeh itu mendakwa, beliau seakan-akan menyedari tindakan Najib seolah-olah enggan berdepan dengan Tun Mahathir ketika sidang Dewan Parlimen sebelum ini.

“Saya menyedari bahawa Najib tidak pernah melihat dengan tepat ke arah Tun Mahathir setiap kali beliau berucap. Hari ini, saya telah berkesempatan merakam foto Najib sewaktu Tun Mahathir sedang berucap.

Menteri Industri Utama Teresa Kok menafikan dakwaan bahawa lawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad ke China baru-baru ini merupakan "satu bencana diplomasi" .
Teresa Kok

“Najib dilihat sedang melihat ke arah lain sepanjang sesi pembentangan Tun Mahathir,” katanya dalam laman Facebook milik beliau.

Status tersebut bukan sahaja mendapat ribuan ‘like’ dan dikongsi ratusan, malah juga mendapat kritikan dari para netizen.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, dua gambar Najib dan Tun Mahathir itu mendapat 1,700 likes selain lebih 500 komen negatif dan positif netizen telah dikongsi hampir 400 kali.

Antaranya, Gim Hoong yang menasihati beliau supaya lebih fokus dalam isu-isu yang lebih penting daripada membuang masa seperti ini.

“Wahai Teresa, bolehkah anda fokus kepada perkara-perkara yang jauh lebih penting? Ingat, anda bukan lagi pembangkang seperti dulu. Kami telah undi anda kerana mahukan perubahan bukan berterusan mengkritik UMNO,” katanya.

Bagi Dee Dee Pok pula, dia merasakan apa yang dimuat naik oleh pemimpin DAP itu sebenarnya sangat kelakar dan menghiburkan.

Roy Yap pula menyeru kepada Teresa untuk lebih mengutamakan beberapa perkara termasuk isu kesesakan lalu lintas di Jalan Kelang Lama yang berada pada tahap membimbangkan.

Ganesh Reddy pula mengkiritk Teresa dengan mengatakan Tun Mahathir bukan artis Kollywood untuk terus direnung Najib sepanjang masa.

“Anda ingat Tun Mahathir itu penari ‘Silk Smita’ ke untuk terus direnung oleh Najib sepanjang masa? Tolonglah,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi Lim Vincent pula, dia membidas tindakan Teresa bermain-main dengan telefon bimbitnya ketika pembentangan penting dilakukan.

“Anda tidak ada perkara yang lebih baik untuk dibuat? Bermain-main dengan telefon ketika Perdana Menteri sedang membuat pembentangan,” soalnya.

Suhaimi Salleh pula berkata, rakyat mahu melihat idea dan Malaysia baharu.

“Bodoh. Tolong buat kerja anda betul-betul. Bukan perkara bodoh seperti ini,” tegasnya.

Kevindran Siva pula melahirkan rasa kecewa kerana kenyataan seperti ini bukan apa yang diperlukan oleh rakyat negara ini, sebaliknya fokus kepada pelbagai isu yang sedang menghantui rakyat.

Berlainan pula dengan Jayson Garcia yang bersetuju sesekali pemimpin seperti Menteri perlu mengeluarkan kenyataan ‘relaks’ seperti ini.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi peringatan kepada media agar lebih berwaspada ketika melaporkan berita berikutan kecaman diterima beliau selepas berkongsi gambar tidak berbaju di dalam tab mandi dalam media sosial.

Namun demikian, Syed Saddiq menerima kecaman netizen kerana kesilapannya sendiri yang memuat naik gambarnya itu selepas menyertai program sempena Hari Sukan Negara.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik juga menerima kecaman netizen kerana seringkali bercakap tentang stoking dan warna kasut namun beliau turut menyoal media hanya gemar menyiarkan kenyataan ‘kontroversi’ sahaja. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan