RHB
RHB
KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan menyemak semula unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan menurunkannya kepada 4.5-5.5 peratus bagi 2016-2020 daripada 5-6 peratus sebelumnya adalah lebih realistik, kata RHB Research.

Pakar Ekonomi RHB Research, Vincent Loo Yeong Hong dalam nota penyelidikannya berkata, semakan semula itu yang diumumkan semalam dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) adalah disebabkan prospek ekonomi global yang mencabar dan kekangan kewangan domestik.

“Kami merasakan sasaran pertumbuhan yang berkurangan itu adalah lebih realistik ketika kita memasuki peringkat seterusnya kitaran pertumbuhan global dan dalam keadaan keadaan tidak menentu ekoran ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China serta langkah mengetatkan dasar monetari yang diambil oleh ekonomi-ekonomi utama,” katanya.

Begitu juga, beliau berkata, sasaran pertumbuhan diunjurkan lemah bagi 2018-2020 antara 4.5-5.5 peratus daripada 5.1 peratus pada 2016-17, yang sejajar dengan unjuran RHB Research pada 4.8-5.2 peratus bagi tempoh yang sama.

Sementara itu, pelaburan swasta dijangka mencatatkan pertumbuhan perlahan pada 5.7 peratus setahun pada 2018-2020 daripada 6.8 peratus pada 2016-2017, dan susulan itu pertumbuhan pelaburan swasta akan disemak semula kepada 6.1 peratus bagi 2016-2020 daripada 9.4 peratus.

Bagaimanapun, Loo berkata firma penyelidikan itu menyambut baik usaha kerajaan untuk menumpukan kepada pelaburan swasta berkualiti yang mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir yang diberi bayaran tinggi, terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Justeru, beliau berkata langkah-langkah untuk menggalakan pelaburan dalam mesin dan peralatan – terutamanya dalam automasi – akan dilaksanakan untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti perusahaan.

Mengenai defisit fiskal, beliau berkata ia diunjurkan boleh melebihi paras tiga peratus KDNK bagi 2019 kerana sasaran fiskal akan menjadi anjal semasa tempoh peralihan pentadbiran baharu untuk meningkatkan pertumbuhan.

“Ekonomi mungkin memberi reaksi kepada pembaharuan fiskal segera ini dalam tempoh jangka pendek tetapi ia perlu bagi menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan lebih mampan dan inklusif.

“Senario alternatif kita dalam laporan Previu Bajet 2019 baru-baru ini tidak menolak kemungkinan defisit fiskal meningkat kepada 3.3 peratus daripada KDNK. Kemudiannya, ia akan kembali ke landasan pengukuhan pada 2020,” katanya sambil menambah defisit fiskal disasarkan pada tiga peratus daripada KDNK pada 2020.

Beliau berkata pengukuhan itu akan dicapai menerusi pendekatan pelbagai hala ke arah mengukuhkan pengurusan fiskal di mana hasil akan terus dipelbagaikan dengan meningkatkan sumbangan cukai tidak langsung dan hasil bukan cukai seperti lesen, permit, yuran dan sewa.

Selain itu, katanya, kerajaan akan menimbang kemungkinan mengenakan cukai digital ke atas urus niaga e-dagang dan dalam talian.

“Lebih banyak inisiatif untuk meningkatkan pematuhan cukai juga akan dilaksanakan bagi memastikan kutipan dimaksimumkan daripada cukai langsung dan tidak langsung,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan