Parlimen
Diantara ahli parlimen dan tetamu yang hadir pada Program Advokasi Ahli Parlimen di Dewan Negara, Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 19 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berhasrat untuk menginstitusikan semua jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Parlimen.

Ia merupakan salah satu perubahan yang ingin dilakukannya selepas Program Advokasi Ahli Parlimen yang bermula hari ini sehingga esok.

“Menginstitusikan jawatankuasa secepat yang mungkin. Kita ada beberapa jawatankuasa sekarang.

“Kita mahu menubuhkan jawatankuasa yang selari dengan United Kingdom (UK), Australia, yang mana demokrasi mereka lebih matang,” katanya kepada pemberita ketika sidang media.

Selain itu Mohamad Ariff mahu memperkenalkan semula Parlimen sebagai sebuah badan yang bebas.

Jelasnya, memastikan pengasingan kuasa dengan Parlimen akan dapat mengukuhkan institusi itu.

“Perkara lain yang ingin diperkenalkan semula adalah perkhidmatan Parlimen sebagai satu badan bebas ini penting untuk mengasingkan kuasa.

“Parlimen kena bebas. kerajaan yang kuat akan melahirkan Parlimen yang kukuh seterusnya akan menggalakan perubahan baik pada Parlimen,” tambahnya.

Program Advokasi Ahli Parlimen yang diadakan di Dewan Rakyat ini turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Vicki Treadell dan Pengerusi Weastminster Foundation for Democracy Hugh Bayley.

Turut hadir 40 anggota Dewan Rakyat daripada kerajaan dan pembangkang termasuklah wakil daripada Senator, NGO dan Universiti. -MalaysiaGazette