Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

SUNGAI BULOH – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan mengambil tiga bekas banduan bekerja di pejabatnya di kementerian berkenaan sebagai inisiatif untuk mengubah stigma dan pandangan negatif umum terhadap golongan itu.

Beliau berkata bekas banduan terdiri daripada belia yang telah tamat menjalani hukuman itu akan berkhidmat dengannya dalam tempoh masa tertentu yang akan ditetapkan kemudian.

Katanya, hasrat itu adalah satu permulaan kepada program kempen ‘Riben Kuning’ yang dilaksanakan kementeriannya bertujuan mengubah pandangan masyarakat terhadap bekas banduan terutama belia, dan seterusnya memberi peluang kedua kepada mereka.

“Saya akan berbincang secara mendalam dengan pihak Jabatan Penjara dan kementerian berkaitan agar bekas banduan belia dapat ditempatkan di pejabat saya dan saya sendiri akan pantau mereka.

“Kita perlu kotakan kata kita. Kalau saya sendiri lancar kempen ini tetapi saya tidak buat, bagaimana kita nak expect pihak swasta dan masyarakat menerima bekas banduan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tersebut di Penjara Sungai Buloh di sini, hari ini.-BERNAMA